lifenotes


Terserlah Bakat Bila Merantau

Posted in Uncategorized oleh lifenotes di Ogos 28, 2006

Kata orang, bakat kita akan terserlah bila kita berhijrah.

Salah seorang rakan pengajian ayah saya semasa di pondok bernama Hanafi. Dia seorang yang rajin mencuba pelbagai perkara untuk menyara kehidupannya. Dia juga mempunyai bakat bersilat. Kebetulan dia bersahabat baik dengan suami kepada kakak ayahanda saya. Bermula dari rumah emak saudara saya itulah, dia mula menghidupkan sebuah seni pergerakan silat.

Sambutan orang-orang kampung biasa sahaja. Barangkali orang kampung sudah terdedah dengan ilmu-ilmu pertahanan diri. Kalau tidak mempelajari silatpun, seseorang itu sudah tentu ada persediaan dalamannya yang lain. Memang begitulah hidup orang kampung. Bekerja sebagai petani adakalanya terdedah kepada serangan binatang liar mahupun perompak.

Ustaz Hanafi kemudiannya berhijrah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di sini dia membuka gelanggang silatnya semula. Sambutan yang diterima kali ini berbeza. Ramai yang meminati pergerakan silatnya. Akhirnya seni ini masyhur ke hampir seluruh tanah Semenanjung. Siapa yang tidak pernah mendengar nama “Silat Cekak Ustaz Hanafi”.

Advertisements

Perantau

Posted in Uncategorized oleh lifenotes di Ogos 1, 2006

Saya masih ingat lagi sewaktu kecil, saya kerap mengikuti ayahanda dan bonda ke stesen bas dan keretapi untuk menghantar ahli keluarga kami ke tempat pengajian mereka. Abang-abang dan kakak-kakak saya mula merantau seawal usia 13 tahun. Dari Kulim di Kedah hinggalah ke Adelaide di Australia dan Newcastle di United Kingdom.

Budaya merantau ini barangkali turun dari ayahanda dan bonda kami. Keturunan bonda saya berasal dari Wilayah Pattani di Thailand. Bangsa Pattani adalah bangsa yang banyak merantau dan gigih bekerja. Mereka merantau ke Wilayah Kedah dan adakalanya tinggal bermusim. Pada musim menanam padi contohnya, mereka akan datang mengambil upah menyemai anak padi. Cara bekerja yang kemas dan murah menarik hati petani tempatan untuk mengupah mereka. Orang Pattani juga ada yang merantau sehingga ke Mekah. Saya masih ingat lagi ketika saya menemani bonda saya menunaikan haji di Mekah, bonda saya berkesempatan menziarahi saudaranya yang telah lama menetap di sana.

Ayahanda saya juga banyak merantau ketika menuntut ilmu. Dari pondok pengajian di Kedah, dia merantau ke Kelantan dan akhirnya ke Mekah. Sebagai seorang perantau, dia banyak menempuh liku-liku dan cabaran kehidupan di sepanjang pengajiannya itu. Pengalaman inilah yang membentuk dirinya sebagai seorang yang amat mengutamakan pendidikan anak bangsa. Sekembalinya ke tanahair, dia membuka kelas pengajian dewasa dan terlibat sebagai seorang aktivis masyarakat.

Kenangan yang tak dapat saya lupakan ketika bersama ayahanda saya ialah ketika berada di dalam sampan menuju ke Pulau Dayang Bunting pada satu malam kira-kira 20 tahun yang lalu. Ombak laut beralun agak tinggi. Bulan mengambang penuh dan ikan berlompatan menyambut kehadirannya. Saya agak cemas. Ketika itu ayahanda saya dalam perjalanan memberi kuliah kepada penduduk di sana. Saya tertanya sendirian, “Apakah dorongan yang menyebabkan ayah mengembara sehingga ke tempat sebegini semata-mata hanya untuk memberi kuliah?”

Soalan itu terus tersimpan di benak ini dan tak berkesempatan untuk diluahkan sehinggalah dia pulang ke Rahmatullah kira-kira 10 tahun yang lalu. Kehilangan itu amat terasa. Namun, peredaran masa yang sekaligus mematangkan saya akhirnya perlahan-lahan memahamkan saya hakikat perjuangan hidup dirinya. Saya merasa beruntung mempunyai seorang ayah yang berjuang untuk kecemerlangan pendidikan anak-anak dan masyarakatnya. Saya merasa bersyukur dilahirkan di dalam keluarga yang mencintai ilmu dan berkhidmat untuk ilmu.

Dalam perantauan ada erti kehidupan dan dalam kehidupan itu ada erti perantauan.